Saturday, September 5, 2009

Usaha Dakwah, sejauh mana peranan kita?

Assalam wbt.

Istilah dakwah semestinya difahami dan diketahui ertinya oleh bukan sahaja umat Islam malahan golongan bukan Islam di Malaysia ini. Malahan kadang-kadang golongan bukan Islam ini lebih menghayatinya daripada sesetengah umat Islam. Dakwah dalam peristilahan bahasa adalah meminta tolong, memandu, menjemput, mengajak, memanggil, menyeru dan melaung. Manakala dari segi tafsiran ahli-ahli dakwah adalah usaha yang dilakukan oleh seseorang atau kumpulan dengan pendekatan tertentu untuk membawa manusia mendekati Tuhan, di sisi Islam dan dakwah islamiah adalah Allah swt.

Kita harus ingat bahawa usaha dakwah ini bukan sahaja dilakukan oleh umat Islam tetapi juga oleh golongan kafir walaupun tiada arahan kewajipan dakwah ini kepada mereka oleh ajaran mereka seperti yang dituntut dan diwajipkan oleh agama Islam. Walaupun usaha dakwah ini satu kewajipan kepada kita tetapi mengapa pula masih ramai antara kita yang memandang remeh dan merendah-rendahkan usaha dakwah ini sedangkan golongan kafir bersungguh-sungguh dalam mengerjakan usaha dakwah mereka dalam menyesatkan manusia dengan menjauhi Islam dan ajarannya.

Mengapa majoriti masyarakat masih meletakkan usaha dakwah ini kepada ustaz-ustaz, pertubuhan-pertubuhan dakwah atau imam-imam sedangkan tuntutan dakwah ini adalah kewajipan yang difardhukan samada fardhu ain ataupun fardhu kifayah. Jelas masyarakat kini masih tersalah faham akan tuntutan dakwah yang dianjurkan dan disarankan oleh Islam ini. Islam dengan jelas dan terang memperkatakan tentang amalan 'amar makruf dan nahi munkar' yang definasinya boleh diterangkan oleh kanak-kanak sekolah rendah tetapi mengapa masyarakat sekarang masih teragak-agak menjadikannya sebagai satu pegangan hidup? Masyarakat sekarang juga mungkin disalah-fahamkan dan ditakut-takutkan dengan istilah dakwah ini oleh musuh-musuh Islam ataupun oleh golongan pendakwah sendiri yang terlalu ekstrem dan keterlaluan dalam dakwah mereka sehingga menjadikan masyarakat 'fobia' apabila mendengar perkataan-perkataan dakwah dan yang berkaitan dengannya.

Masyarakat harus diterapkan bahawa dakwah islamiah itu amat mudah, tuntutan dakwah ini diwajipkan bertunjangkan atas keupayaan seseorang. Islam tidak meletakkan bebanan terhadap usaha-usaha dakwah ini, Islam mahukan usaha dakwah ini dijalankan dalam suasana mudah, tenang, tidak membebankan tetapi tidaklah pula bererti tidak tegas dan main-main. Dalam pada itu Islam menuntut agar usaha dakwah ini dilakukan terhadap diri sendiri terlebih dahulu, kemudian ahli keluarga terdekat seperi ibubapa, isteri dan anak-anak, ahli keluarga lain,rakan-rakan serta jiran-jiran terdekat, rakan-rakan dan jiran-jiran yang agak jauh, masyarakat setempat dan akhirnya ke peringkat nasional dan global jika mampu. Inilah peringkat dan kaedah asas dakwah islamiah. Tidak guna jika diri sendiripun tidak terurus dengan baik, kita mahu mendakwahkan kepada seseorang kerana salah satu sifat terpenting pendakwah dan uslub dakwah utama adalah melalui keteladanan. Peribadi, akhlak serta penampilan yang baik dan mulia mencerminkan kesucian dan kemantapan akidah, inilah pendekatan dakwah yang terbaik yang menjadi aset terpenting buat seseorang dai. Walaubagaimanapun, ini lebih baik daripada tidak melakukan dakwah langsung cuma dibimbangi langkahnya ini akan membawa fitnah dan buruk sangka masyarakat kepada Islam.

Sempena bulan Ramadhan ini yang hanya tinggal lebih kurang 2 minggu lagi, inilah kesempatan terbaik untuk kita 'mendakwahkan' diri kita sendiri dengan berbagai-bagai amalan yang telah dianjurkan oleh Rasulullah saw, para sahabat dan ulama'-ulama'. Semoga Ramadhan tahun ini tidak meninggalkan kita dengan sia-sia dan kita pula tidak akan menangis menyesali pemergiannya kerana kelalaian, kealpaan dan kedegilan kita untuk memenuhinya dengan nilai-nilai Islam.

Marilah kita memohon semoga Allah swt memberi taufik, kekuatan dan kesabaran untuk kita menunaikan tanggungjawab kita sebagai khalifah-Nya ini dan dijauhkan kita daripada tipu-daya iblis, syaitan dan dajjal serta hawa nafsu kita sepanjang baki Ramadhan ini dan seterusnya pada hari, bulan dan tahun-tahun selanjutnya sehinggalah saat kita bertemu dengan-Nya yang mana pada saat dan ketika itu dipohonkan agar kita diakhirkan dalam 'husnul khatimah' dan ditakdirkan bersama para nabi-nabi, para sahabat, para syuhada', solihin, mukminin yang telah dijanjikan tempat mereka di syurga-Nya kelak.

Semoga secebis coretan ini membawa sinar harapan buat jiwa dan diri kita yang masih jauh dari-Nya dan mengharapkan taufik, kasih dan belas dari-Nya.

Wallahu'alam.

KULIAH OF THE DAY