Friday, July 10, 2009

Pemansuhan PPSMI - Siapa Rugi? BN atau rakyat?

Assalam wbt.

Isu PPSMI akhirnya bolehlah dikatakan menuju ke penghujungnya, dengan pihak kerajaan BN akhirnya akur dengan tuntutan pelbagai pihak agar matapelajaran sains dan matematik itu kemabali diajar menggunakan bahasa Malaysia/Melayu. Ramai pihak telah memberikan komen serta pandangan berhubung isu ini sejak ia mula diperkenalkan dahulu hinggalah kepada hari ini ( walaupun ia sudah digezetkan akan dimansuhkan ). Masyarakat dari ahli akademik, sasterawan, ahli politik serta juga 'forum-forum rakyat' di kedai-kedai kopi, pasar-pasar serta di laman-laman blog, semuanya memberikan hujah-hujah pro dan kontra masing-masing.

Sebenarnya, apa masalahnya PPSMI itu? Mengapa ia gagal dilaksanakan dengan berkesan? Mengapa ia gagal mencapai matlamatnya? Pertama sekali yang perlu diketahui adalah apakah matlamat asal mewujudkan PPSMI ini. Adakah ia beragendakan untuk memajukan anak bangsa ataupun ia adalah untuk mengembungkan poket-poket golongan tertentu? Persoalan ini terlebih dahulu perlu dijawab......kemudian barulah hal-hal lain akan dapat diselesaikan dengan sendirinya. PPSMI samada ia ikhlas atau tidak untuk kerajaan laksanakan dilihat ramai pihak seperti hanya melepaskan batuk di tangga sahaja.....masakan tidak! Dengan modulnya yang tidak diketahui keberkesanannya, dengan tenaga pengajarnya yang tidak pasti keupayaannya untuk dikerahkan ke peringkat yang lebih optimum, dengan pemantauan kementerian sendiri yang seolah-olah dilihat 'syok sendiri' dan lepas tangan, dengan pihak sekolah sendiri masih was-was dan bertelagah dalam melaksanakan arahan ini, dengan para ibu-bapa yang masih samar-samar akan pelaksanaan ini lantas membuat jalan mudah membangkangnya tetapi dalam masa yang sama rela menghantar anak-anak mereka ke tuition bahasa Inggeris di luar dan akhirnya dengan para pelajar sendiri yang tertekan samada tekanan dalaman ataupun luaran......semuanya antara punca-punca PPSMI digagalkan.

Pembelajaran dan penguasaan bahasa asing sememangnya amat dituntut, malahan Rasulullah SAW sendiri semasa memasuki kota Madinah telah mengarahkan sahabat-sahabatnya belajar dan menguasai bahasa kaum Yahudi ini ( bahasa Ibrani ) yang pada ketika itu menguasai ekonomi Madinah. Ini penting agar umat Islam dapat berkomunikasi secara baik dan aman dengan mereka serta dapat mengelak tipu-daya dan muslihat kaum Yahudi ini. Sahabat-sahabat seperti Zaid bin Tsabit RA dan Abdullah bin Salam RA telah dianggap Nabi SAW sebagai pakar rujuknya apabila berurusan dengan kaum Yahudi ini. Begitulah pentingnya mempelajari bahasa asing sehinggakan Islam secara terang-terangan menuntut agar umatnya tidak berlengah-lengah dan malas daripada menguasainya.

Berbalik kepada PPSMI iaitu penekanan bahasa Inggeris dalam pembelajaran kedua-dua matapelajaran ini, walaupun nawaitunya untuk membolehkan para pelajar menguasai bahasa Inggeris secara tidak langsung tetapi ini bukanlah satu-satunya kaedah untuk menjadikan para pelajar kita fasih menguasai bahasa Inggeris samada dalam pembacaan dan penulisan. Tidak cukup sempurnakah subjek bahasa Inggeris di sekolah-sekolah? - dengan modul yang banyak diceduk dari 'oversea', dengan tenaga pengajar yang ditambah elaun mereka, menghadiri seminar dan kursus luar dan dalam negara serta dapat menyambung sarjana dan Phd di luar negara.........banyak yang sudah kerajaan belanjakan untuk pemantapan bahasa Inggeris ini, maka sekarang kerajaan juga seharusnya memantau dan mengawasi pelaksanaannya di sekolah-sekolah samada 'pemegang-pemegang amanah' itu menunaikan tanggungjawab dan amanah masing-masing secara ikhlas, bersungguh-sungguh dan berkesan. Kita tidak mahu ada yang 'syok sendiri'.........Kita mahu bahasa Inggeris diajar secara tiada tekanan kepada para pelajar dan juga mahukan para pelajar ini ingin mempelajarinya secara rela dan atas kesedaran sendiri........ Nampaknya pakar kaunseling dan motivasi turut diperlukan juga.

Sebenarnya pemansuhan PPSMI ini meletakkan kedua-dua pihak samada kerajaan ( secara politiknya BN ) dan rakyat ( pegawai kementerian,guru-guru,ahli akademik,pihak swasta,ahli-ahli politik,ibu-bapa dan para pelajar) seharusnya lebih bekerja-keras dan bekerjasama dalam pemantapan diri ( dalam kontek ini adalah penguasaan bahasa Inggeris ) semoga generasi masa depan kita tidak ketinggalan dalam mengejar belbagai ilmu yang bermanfaat demi menguasai dan menangkis serangan-serangan globalisasi. Maka dengan itu dilihat pemansuhan PPSMI ini bukan sahaja telah merugikan kedua-dua pihak tetapi ia juga akan menguntungkan kedua-dua pihak.

Semoga pemansuhan ini akan memberi 'sinar harapan' baru kepada negara tercinta.
Wallahu'alam.

1 comment:

  1. Salam saudaraku Rizal.

    Dalam hal ini, rakyatlah yang rugi dan mengapa kerajaan BN pulak? Dan tidak akan ada mana-mana yang akan untung, sebab sekarang rakyat dan BN sudah tidak boleh duduk sebumbung dan bekerjasama. Kita tunggu dan lihat Pilihanraya ke-13 nanti!

    SukaSuka

    ReplyDelete