Thursday, July 30, 2009

Al-Fatihah - Pendinding Semasa Tidur


Assalam wbt.

Di sini dititipkan satu hikmat Al-Fatihah dari buku nukilan Ali Zulfikar untuk perkongsian bersama.

Menurutnya, untuk memelihara dan terselamat dari segala kejahatan dan mudharat, serta pendinding syaitan dan segala makhluk yang akan merasuk atau mengganggu masa tidur maka kita hendaklah sebelum meletakkan kepalanya :

1. Membaca 1x Al-Fatihah
2. Membaca 3x Qul-hu-wallah-u-ahad
3. Membaca 1x Qul-a'u-zu-bi-rab-bil-falaq
4. Membaca 1x Qul-a'-u-zu-bi-rab-bin-nas

Sebenarnya terdapat banyak lagi pendinding semasa tidur antaranya membaca ayat kursi, akhirkan kegiatan dengan kebaikan dan satu doa yang diriwayatkan dari Thalaq bin Habib. Begitulah Maha Penyayang dan Pengasihnya Allah swt ini, terserahlah kepada hamba-hamba-Nya samada hendak memohon dan bergantung kepada-Nya atau sebaliknya.

Wallahu'alam.


Saturday, July 18, 2009

Hari Ini Dalam Sejarah : Malaysia 2 Manchester United 3

Assalam wbt.

Petang tadi satu sejarah dalam kancah bolasepak kita telah termaktub. Malaysia berjaya mengekang gergasi bolasepak dunia iaitu juara kelab dunia, juara liga perdana Inggeris dan bekas juara eropah; Manchester United daripada bermaharaja-lela merobek pintu gol negara sebaliknya anak-anak Malaysia pula mampu membolosi pintu gol MU itu. Jika dahulu, keputusan 4-0 semestinya berpihak kepada pasukan lawan ( Arsenal, Chelsea, Brazil dan MU sendiri ), tadi pasukan negara berjaya memperbaiki keputusan tersebut dengan kekalahan tipis 2-3.

Walaubagaimanapun, kejayaan ini ( kalah 2-3 ) bukanlah bererti pasukan Malaysia ini sudah berjaya menandingi corak permainan pasukan MU..........Dunia melihat sendiri bagaimana bersungguh-sungguhnya pemain-pemain Malaysia berkejar-kejaran di atas padang sedangkan pemain-pemain MU bermain seolah-olah untuk sessi latihan mereka sahaja. Mereka tidak langsung melakukan trick-trick bolasepak, serangan-serangan pantas dan corak MU yang digeruni selama ini tidak dipamerkan langsung........malahan mereka bermain seolah-olah mengikut rentak permainan pasukan kita yang agak membosankan.

Namun, walaupun kita tahu di mana bolasepak kita jika dibandingkan dengan MU, keputusan hari ini pastinya menjadi sejarah hidup terpenting setiap pemain pasukan negara terutamanya 'hero' kita pada petang tadi, Amri Yah Yah.

Buat coach Rajagopal dan pemain-pemain, tahniah diucapkan........kekalkan rentak ini ( bersungguh-sungguh dalam permainan ) dan diharap mampu mencari barisan simpanan yang kurang lebih dengan keupayaan skuad utama.........inilah kelemahan kita.....apa boleh buat jika inilah sahaja himpunan terbaik di Malaysia.

Peminat sebenarnya masih bersama skuad negara, tetapi permainan itu biarlah setaraf dengan status dan ganjaran yang anda semua perolehi samada untuk negara atau negeri. Jika kalahpun biarlah bermaruah......

Semoga bolasepak kita ada sinar harapannya.....................

Wassalam.

Wednesday, July 15, 2009

Malapetaka Yang Menimpa Umat Islam Di Akhir Zaman Ini

Assalam wbt.

Penulisan ini saya perolehi di sebuah masjid di Kuala Lumpur iaitu Masjid Ar-Rahman ( terletak bersebelahan dengan Universiti Malaya ). Antara perkara-perkara yang menimpa umat Islam akhir zaman ini adalah :

1. Ramai umat Islam yang jahil tentang ajaran Islam tetapi tidak mengambil berat untuk
mempelajarinya.
2. Ramai umat Islam hanya tinggal pada namanya sahaja, cara hidup dan tingkah lakunya tidak
seperti seorang Islam.
3. Banyak masjid-masjid yang didirikan dengan harga yang mahal-mahal, besar dan cantik
tetapi di dalamnya kosong dari majlis-majlis atau sekadar menarik perhatian kepada para
pengunjungnya sahaja.
4. Al-Quran dan hadis Nabi SAW tidak menjadi panduan dan rujukan dalam kehidupan
seharian, bahkan di pandang ketinggalan zaman jika diamalkan.
5. Banyak munculnya ulama'-ulama' yang jahat, yang menyesatkan umat Islam dari ajaran yang
sebenar semata-mata untuk kepentingan diri mereka.

Semua tanda-tanda di atas sudah muncul dan semakin menunjukkan diri.......apa yang harus kita lakukan? Tepuk dada tanya iman........

Wassalam.

Manik Urai - PAS terbu'rai' atau UMNO di'rai'

Assalam wbt.

Keputusan muktamad pilihanraya kecil Manik Urai berpihak kepada parti PAS dengan majoriti sebanyak 65 undi. Walaupun kemenangan ini sudah dijangkakan tetapi tentangan sengit yang diberikan oleh UMNO dengan hanya membenarkan majoriti yang amat sedikit ini berbanding semasa pilihanraya umum ke-12 lalu iaitu melebihi 1,000 undi membayangkan apa-apapun boleh berlaku di negara kita ini. Kubu kuat PAS ini seolah-olah gagal membendung serangan-serangan pihak UMNO.....hanya berbekalkan 'keizinan Allah SWT' sahaja nampaknya membenarkan Tok Guru Nik Abdul Aziz dapat mengurut dadanya dan bertenang semula.......menjadikan rakan-rakannya di dalam Pakatan Rakyat yang sudah merah padam mukanya dan pucat lesi, kembali berdarah dan mampu tersenyum.......dan menjadikan pihak UMNO dan BN yang dalaman mereka berkocak kegembiraan kembali sugul dan sayu.....dan juga menjadikan para wartawan yang sudah bersiap sedia dengan berita paling menghangatkan ini kembali tenang dan reda.........dan penduduk-penduduk Manik Urai yang dilihat seolah-olah mahu memecahkan monopoli PAS dan membu'rai'kannya kembali seperti sedia-kala dan hampa kerana mereka gagal me'rai'kannya bersama-sama Dato' Najib, Muhyidin Yasin dan Tok Pa.

Kini, sudah diketahui siapa YB MU ini. Maka tunaikan tanggungjawab anda sebaik mungkin....bukan kerana parti, bukan kerana pemimpin anda tetapi kerana anda adalah seorang YB, anda diberi mandat untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara anda tanpa mengira siapa pengundi anda.

Wallhu'alam.

Monday, July 13, 2009

Siapa Penghuni Bumi Sebelum Manusia

Assalam wbt.

Tajuk dan persoalan ini diambil dari buku tulisan Muhammad Isa Dawud, buku yang saya beli pada tahun pertama saya bekerja ( sekitar 1997 ) tetapi tak sempat lagi dibaca. Sabtu lepas, hasil dari membersih stor rumah maka terjumpalah buku ini......Alhamdulillah dapat juga difahami apa disebalik pemikiran dan hujah saudara Muhammad Isa Dawud ini.

Menurut beliau, usia bumi ini, menurut kebanyakan pendapat berusia lebih dari seribu juta tahun tetapi ini bukanlah bermakna kehidupan manusia bermula pada masa itu juga. Ia hanyalah berupa 'bahagian' terbesar dari rangkaian kehidupan masa lalu, yang hidup dan menguasai bumi. Kehidupan ini ( kita ) muncul setelah kebinasaan makhluk yang mendahului kita. Makhluk itu berupa makhluk-makhluk asing yang tidak kita ketahui samada serupa dengan kita ataupun tidak. Menurut pakar-pakar, makhluk ini telah dibinasakan oleh pancaran atom yang berlaku serentak. Beliau mengukuhkan pendapatnya dengan memaparkan pendapat ilmiah dan penemuan-penemuan artifak, kubur dll penemuan yang menjuruskan bahawa kehidupan masa lalu telah memenuhi bumi ini sebagai suatu komuniti ( masyarakat ). Selain itu juga beliau menggunakan hujah-hujah dari kitab Al-Quran sebagai rujukan.

Dengan meninggalkan para pembaca menghayati hujah-hujahnya, beliau terus menekankan persoalan apakah ada manusia yang mendahului kita? Dan apakah mereka ini jika ada, mempunyai tingkat ilmu yang sebanding atau melebihi tingkat ilmu kita saat ini? Dan beliau membiarkan para pembaca memikirkannya.......

Maka sayapun memikirkannya......Betul atau tidak itu persoalan lain tetapi segala-galanya mungkin kerana Allah SWT itu Maha Berkuasa atas sesuatu.

Wallahu'alam.

Friday, July 10, 2009

Pemansuhan PPSMI - Siapa Rugi? BN atau rakyat?

Assalam wbt.

Isu PPSMI akhirnya bolehlah dikatakan menuju ke penghujungnya, dengan pihak kerajaan BN akhirnya akur dengan tuntutan pelbagai pihak agar matapelajaran sains dan matematik itu kemabali diajar menggunakan bahasa Malaysia/Melayu. Ramai pihak telah memberikan komen serta pandangan berhubung isu ini sejak ia mula diperkenalkan dahulu hinggalah kepada hari ini ( walaupun ia sudah digezetkan akan dimansuhkan ). Masyarakat dari ahli akademik, sasterawan, ahli politik serta juga 'forum-forum rakyat' di kedai-kedai kopi, pasar-pasar serta di laman-laman blog, semuanya memberikan hujah-hujah pro dan kontra masing-masing.

Sebenarnya, apa masalahnya PPSMI itu? Mengapa ia gagal dilaksanakan dengan berkesan? Mengapa ia gagal mencapai matlamatnya? Pertama sekali yang perlu diketahui adalah apakah matlamat asal mewujudkan PPSMI ini. Adakah ia beragendakan untuk memajukan anak bangsa ataupun ia adalah untuk mengembungkan poket-poket golongan tertentu? Persoalan ini terlebih dahulu perlu dijawab......kemudian barulah hal-hal lain akan dapat diselesaikan dengan sendirinya. PPSMI samada ia ikhlas atau tidak untuk kerajaan laksanakan dilihat ramai pihak seperti hanya melepaskan batuk di tangga sahaja.....masakan tidak! Dengan modulnya yang tidak diketahui keberkesanannya, dengan tenaga pengajarnya yang tidak pasti keupayaannya untuk dikerahkan ke peringkat yang lebih optimum, dengan pemantauan kementerian sendiri yang seolah-olah dilihat 'syok sendiri' dan lepas tangan, dengan pihak sekolah sendiri masih was-was dan bertelagah dalam melaksanakan arahan ini, dengan para ibu-bapa yang masih samar-samar akan pelaksanaan ini lantas membuat jalan mudah membangkangnya tetapi dalam masa yang sama rela menghantar anak-anak mereka ke tuition bahasa Inggeris di luar dan akhirnya dengan para pelajar sendiri yang tertekan samada tekanan dalaman ataupun luaran......semuanya antara punca-punca PPSMI digagalkan.

Pembelajaran dan penguasaan bahasa asing sememangnya amat dituntut, malahan Rasulullah SAW sendiri semasa memasuki kota Madinah telah mengarahkan sahabat-sahabatnya belajar dan menguasai bahasa kaum Yahudi ini ( bahasa Ibrani ) yang pada ketika itu menguasai ekonomi Madinah. Ini penting agar umat Islam dapat berkomunikasi secara baik dan aman dengan mereka serta dapat mengelak tipu-daya dan muslihat kaum Yahudi ini. Sahabat-sahabat seperti Zaid bin Tsabit RA dan Abdullah bin Salam RA telah dianggap Nabi SAW sebagai pakar rujuknya apabila berurusan dengan kaum Yahudi ini. Begitulah pentingnya mempelajari bahasa asing sehinggakan Islam secara terang-terangan menuntut agar umatnya tidak berlengah-lengah dan malas daripada menguasainya.

Berbalik kepada PPSMI iaitu penekanan bahasa Inggeris dalam pembelajaran kedua-dua matapelajaran ini, walaupun nawaitunya untuk membolehkan para pelajar menguasai bahasa Inggeris secara tidak langsung tetapi ini bukanlah satu-satunya kaedah untuk menjadikan para pelajar kita fasih menguasai bahasa Inggeris samada dalam pembacaan dan penulisan. Tidak cukup sempurnakah subjek bahasa Inggeris di sekolah-sekolah? - dengan modul yang banyak diceduk dari 'oversea', dengan tenaga pengajar yang ditambah elaun mereka, menghadiri seminar dan kursus luar dan dalam negara serta dapat menyambung sarjana dan Phd di luar negara.........banyak yang sudah kerajaan belanjakan untuk pemantapan bahasa Inggeris ini, maka sekarang kerajaan juga seharusnya memantau dan mengawasi pelaksanaannya di sekolah-sekolah samada 'pemegang-pemegang amanah' itu menunaikan tanggungjawab dan amanah masing-masing secara ikhlas, bersungguh-sungguh dan berkesan. Kita tidak mahu ada yang 'syok sendiri'.........Kita mahu bahasa Inggeris diajar secara tiada tekanan kepada para pelajar dan juga mahukan para pelajar ini ingin mempelajarinya secara rela dan atas kesedaran sendiri........ Nampaknya pakar kaunseling dan motivasi turut diperlukan juga.

Sebenarnya pemansuhan PPSMI ini meletakkan kedua-dua pihak samada kerajaan ( secara politiknya BN ) dan rakyat ( pegawai kementerian,guru-guru,ahli akademik,pihak swasta,ahli-ahli politik,ibu-bapa dan para pelajar) seharusnya lebih bekerja-keras dan bekerjasama dalam pemantapan diri ( dalam kontek ini adalah penguasaan bahasa Inggeris ) semoga generasi masa depan kita tidak ketinggalan dalam mengejar belbagai ilmu yang bermanfaat demi menguasai dan menangkis serangan-serangan globalisasi. Maka dengan itu dilihat pemansuhan PPSMI ini bukan sahaja telah merugikan kedua-dua pihak tetapi ia juga akan menguntungkan kedua-dua pihak.

Semoga pemansuhan ini akan memberi 'sinar harapan' baru kepada negara tercinta.
Wallahu'alam.

Wednesday, July 8, 2009

Doa tak makbul.....Apa sebabnya?

Assalam wbt.

Tadi semasa menunggu masuk waktu asar di sebuah masjid di Kuala Lumpur tiba-tiba saya didatangi oleh seorang lelaki yang pada pandangan saya seorang 'ahli tabligh', dalam lingkungan umurnya lewat 40-an. Kami duduk berborak-borak daripada hal-hal ringan hinggalah menjadi agak berat....beliau bertanyakan, tahukah saya mengapa doa umat Islam kini dilihat seolah2 tak dilayan dan dimakbulkan oleh Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang itu. Saya kata ilmu saya tak banyak sangat, sikit2 aje....dan saya menyuruhnya berkongsi ilmunya dengan saya. Tidak disangka, insan yang agak 'selebeh' dan tak terurus ini rupa-rupanya mempunyai tahap ilmu agama yang agak tinggi .....bukan calang-calang untuk menyampaikan hujah-hujah dan pengisian agama secara agak sistematik dan lancar sebegitu ( seolah-olah beliau dah menghafalnya). Tanpa segan-silu pula, saya mengeluarkan buku catatan kecil dari poket dan terus menulis setiap 'point' yang diutarakannya. Menurutnya, ini semua adalah daripada sunnah-sunnah Nabi SAW, dan bukannya hasil rekaan atau buah fikirannya.

Secara ringkas, penghalang mustajabnya doa-doa kita adalah kerana :
1. Makan, minum dan pakaian daripada sumber yang haram.
2. Gopoh/tergesa-gesa ( minta dimustajabkan doa ) seterusnya meninggalkan berdoa.
3. Isi kandungan doa mengandungi permohonan dosa dan memutuskan siratulrahim.
4. Meninggalkan amar makruf dan nahi munkar.
5. Berdoa kepada Allah hanya ketika susah sahaja dan melupai-Nya ketika senang.
6. Suami yang mempunyai isteri yang buruk akhlak tetapi tidak diceraikannya.
7. Tidak mengadakan saksi ketika memberi hutang.
8. Memberi/menyerahkan harta kepada orang yang belum sempurna akalnya.
9. Berdoa dalam keadaan hati yang lalai lagi lupa kepada Allah SWT.

Selain daripada itu, menurut beliau lagi, umat Islam kini sudah lalai dan tidak menghormati adab-adab berdoa lalu menjuruskan juga kepada terhalangnya doa-doa kita. Beliau menyuruh saya mencari sendiri apa itu adab-adab berdoa......saya kata insya allah. Semoga dengan sedikit coretan ini memberi 'sinar harapan' buat kita yang doa dan impian kita masih belum dimakbulkan oleh Allah SWT. Wallahu'alam.

Rumah Kita...... Selamatkah buat anak2 kita?

Assalam wbt.

Ramai berpendapat bahawa rumah samada disewa atau dibeli, samada flat, condo, teres setingkat, dua tingkat atau bungalow merupakan tempat paling selamat buat keluarga terutama anak-anak. Memang agama kita sendiri ada menuntut agar kita menyediakan kediaman yang sempurna dan selamat buat keluarga kita. Ramai berpendapat bahawa keselamatan dan keselesaan yang dituntut hanyalah dalam mengelak panas dan hujan semata-mata, berlindung daripada binatang buas dan memberi ruang untuk istirehat dan tidur sahaja. Tetapi kita terlupa bahawa dalam keghairahan kita menyediakan segala kelengkapan itu ( yang kononnya untuk keselesaan dan kemudahan kita,rupa-rupanya kita sedang mengundang mala-petaka dan bencana kepada keluarga kita terutama terhadap anak-anak.

Kajian daripada WHO menunjukkan bahawa kejadian kemalangan kanak-kanak di rumah adalah sebanyak 80% berbanding di kawasan-kawasan lain. Ini sememangnya kerana anak-anak kita majoriti waktunya dihabiskan di rumah dan apabila di rumah pula, tahap berjaga-jaga mereka dan juga kita ( ibu-bapa serta pembantu rumah ) boleh dikatakan 'zero' malahan ada kajian yang menunjukkan bahawa tahap pengetahuan tentang keselamatan peralatan rumah juga menghampiri nilai sifat bagi kebanyakan ibu-bapa dan pembantu rumah. Bagaimana dengan sikap kita para ibu-bapa di Malaysia ?

Baru-baru ini, seorang anak sahabat saya telah ditimpa musibah, gara-gara kelalaian ibu-bapa sendiri. Disebabkan sikap degil sahabat saya ini memasang pintu pagar dapur, maka anak lelakinya yang baru berusia 3 tahun ini telah melecur tangan kiri dan sebahagian mukanya kerana terkena minyak panas gara-gara ingin mencapai kuali di atas dapur. Kealpaan isterinya serta pembantu rumah yang asyik berborak di dapur itu juga menjadi punca kejadian. Selepas kejadian itu, mereka suami-isteri itu sudah mulai rasa cukup bersalah dan insaf, serta mulai mencari tips-tips tentang keselamatan anak-anak di rumah. Mereka juga tidak lokek untuk berkongsinya dengan rakan-rakan serta jiran-jiran, malahan beliau memberi keizinan untuk saya berkongsi pengalaman ini bersama di laman blog ini. Harapan dan doanya agar kejadian yang menimpa anaknya itu dapat dielak daripada terjadi kepada anak-anak orang lain.

Disertakan juga antara web-web tentang keselamatan kanak-kanak di rumah untuk rujukan kita semua. Antaranya : http://childproofing Your Home - 12 Safety Devices To Protect Your Children.htm & http:// room-by-room safety tips safety at home.htm

Sinar Harapan sentiasa bersama kita. Insya allah.
Sekian wasalam

Tuesday, July 7, 2009

Manohara Yang Huru-Hara

Assalam wbt.
Isu pergolakan rumahtangga Tengku Temenggung Kelantan bukan lagi menjadi isu setempat malahan krisisnya sudah merebak di seluruh Asia Tenggara malahan mungkin sedunia gara-gara terbukanya medan komunikasi sekarang. Isu ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita semua di dalam melakukan apa2 tindakan terutama dalam hal-hal yang bersangkutan dengan masa depan serta hal-hal yang seharusnya dirujuk dan diambil-kira pandangan-pandangan agama. Walaupun Islam amat menggalakkan umatnya agar mendirikan rumahtangga ttp Islam juga tidak melepaskan umatnya itu mewenang2nya melakukan apa yang mereka sukakan......semuanya sudah Islam atur dan sediakan......mengapa masih ramai yang tidak mahu menurutinya? Mengapa masih mahu dan rela berperah otak dan fikiran dalam melawan peraturan2-Nya?

Perkahwinan Tengku Temenggung Kelantan iaitu Teuku Muhammad Fakhry dengan Manohara Obelia Pinot ( kacukan Bugis-Perancis ) pada 28 Ogos 2008 pada mulanya dilihat sebagai satu perkahwinan bersejarah 2 negara berjiran ini. Namun sedikit demi sedikit keharmoniannya tercalar sehinggalah pada April 2009 secara terbuka Manohara dan ibunya membuat kenyataan bahawa Manohara telah didera fizikal dan psikologinya oleh kerabat Kelantan ini. Bermulalah perang mulut, media dan psikologi kedua2 pihak dalam menutup hal ini ( kerabat Kelantan ) dan dalam membenarkan hal ini ( pihak Manohara ) sehinggalah pada May 2009, Manohara dikatakan berjaya melarikan dirinya pulang ke Indonesia ( walaupun pihak istana Kelantan mengatakan sebenarnya beliau diizinkan pulang secara bebas oleh suaminya ). Berlakulah lagi perang dingin kedua2 pihak sehingga ada ugutan saman-menyaman. Sehinggalah pada 5 Jun lalu, pihak Kelantan terlebih dahulu telah memulakan langkah perundangan. Sekarang kita tunggu pula tindak-balas pihak Manohara yang bukan calang-calang juga. Beginilah halnya jika kita berpaksikan sesuatu yang dilarang dan ditegah oleh Allah SWT sebagai panduan dan rujukan kita dalam menjalani kehidupan harian kita. Walaupun Kelantan Negeri Serambi Mekah dan ditadbirkan pula oleh golongan ulama' ttp jika Allah SWT izinkan sesuatu musibah berlaku maka ianya akan tetap berlaku...........masing-masing patut memikirkan, bermuhasabah dan menginsafi diri, samada Teuku M. Fakhry, kerabat2 Kelantan dan termasuk juga pemerintah Kelantan.

Islam sudah menggariskan ciri2 calon isteri yang diredhoi Allah SWT dan insya allah rumahtangga akan berbahagia dunia dan akhirat.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA : Rasulullah SAW ada bersabda ' Wanita dinikahi kerana 4 perkara-kerana hartanya, kerana kedudukannya/keturunannya , kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang baik agamanya , nescaya engkau beruntung.'

Semoga dengan sedikit coretan ini tiada lagi Manohara lain yang akan menghuru-harakan kita semua...........Sinar Harapan masih ada.

Insya Allah dan Wassalam.

Sunday, July 5, 2009

Apabila Golongan Beragama Mula Bergaya.

Assalam wbt.

Selepas kuliah subuh tadi, saya sempat bersarapan bersama rakan2 sejemaah di sebuah restoran. Sambil menikmati sarapan yg ala kadar itu, seorang sahabat telah mencetuskan bicara yang dilihat agak keterlaluan dan memeranjatkan ( pada mulanya ) ttp beliau mempunyai 'point' dalam mencetuskan isu ini untuk dibicara dan difikirkan di pagi minggu ini.



Menurut beliau, berlakunya kepincangan masyarakat kini adalah disebabkan oleh golongan beragama samada ustaz, ulama' atau pegawai2 agama sudah mula hidup bergaya, bermewah dan bermegah2 dgn kehidupan dunia. Masalah kepincangan masyarakat menurutnya bermula dari bangku sekolah lagi, ramai murid2 terutamanya yang berbangsa melayu dan beragama Islam ini terlibat di dalam berbagai permasalahan hidup dan kemaksiatan. Anak2 dari sekolah rendah lagi sudah mula terjebak dalam gejala2 sosial samada di sekolah mahupun di luar. Menurutnya lagi dimanakah guru2 agama yg sepatutnya berperanan sebagai penunjuk jalan yg benar, pendorong membuat hasanah dan pendinding daripada melakukan kemaksiatan samada di dalam atau luar bilik darjah.........menurutnya lagi ramai daripada golongan ini yg semacam tidak ikhlas dalam mendidik murid2 di sekolah....yang penting habiskan silibus semata2....dan ramai pula yg terlibat dalam kerja2 luar / part-time yg menjanjikan pulangan lumayan. Tidakkah ini petanda mengejar dunia........



Menurut beliau lagi, sifat dan sikap begini turut menular di pusat2 pengajian tinggi kita. Kita mempunyai ramai pakar2 agama samada bergelar profesor madya dan profesor ttp mengapa masih ramai mahasiswa & mahasiswi kita tidak malu2 dan segan2 melakukan maksiat dan kedurjanaan.........dengan gaji mencecah RM6k - RM10K seorang, adakah golongan cendiakawan Islam kita ini hanya pandai dan mampu berkuliah, berseminar, berwawancara serta berceloteh semata2 untuk mengisi jadual2 perkuliahan dan memenuhi jemputan2 semata2? Adakah dengan kemewahan yg disajikan menjadikan mereka tertutup mata dan hati dalam mengutamakan yang patut diutamakan dan melepas-pandang perkara2 pokok.



Selain itu, ditambah oleh seorang rakan lain bahawa tokoh2 agama yang menjawat jawatan di dalam pentadbiran kerajaan juga dilihat tidak terlepas daripada hasutan dan tipu daya ini. Menurutnya, apabila penasihat2 ini terutama yg berpendidikan dan berpengetahuan agama tidak menyedarkan dan menasihati pemerintah atau gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya malahan beliau turut sama2 terjerumus di dalam mengejar kemewahan dan kekayaan dunia maka Allah SWT akan tidak teragak2 menghukum kaum2 ini......sejarah kejatuhan empayar2 Islam samada Bani Abbasiah, Bani Ummaiyah serta kerajaan Othmaniah sepatutnya menjadi pengikhtibaran dan pengajaran penting buat kita. Di ketika itu, umat Islam berada di ambang kecemerlangan dan kemewahan. Pemerintah dan rakyat termasuklah pembesar2 agama telah terlalai dgn kekayaan harta benda....maka Allah SWT memberi hukuman yg sewajarnya kepada mereka dan menjadikan ia pedoman buat umat2 masa hadapan iaitu kita.



Adakah salah untuk golongan beragama ini bermewah dan bergaya jika rezeki datang melimpah-ruah? Bukankah Islam mengajar umatnya agar beribadat seumpama kita akan mati esoknya dan bekerjalah seolah2 kita akan hidup selama2nya. Akhirnya kami semua bersependapat bahawa hujah rakan kami ini ada juga kebenarannya......walaupun Allah SWT menuntut agar umatnya bekerja-keras dan menguasai ekonomi ( kaya dan mewah ) ttp Islam juga ada menekankan mengenai cara kehidupan yg dituntut dan diredhoi-Nya iaitu bersederhana dan jika mampu hidup secara 'zuhud'. Zuhud? Apa dan bagaimana cara hidup 'zuhud' ini? Tajuk ini akan kami ajukan untuk dibicarakan pada kuliah subuh minggu hadapan. Insya-Allah. Wallahu'alam.