Thursday, April 9, 2009

Aduhai.....Bolasepak Malaysia

Assalam wbt & salam sejahtera

Minggu hadapan pasukan bolasepak Malaysia ( senior ) akan mempunyai Ketua Jurulatih barunya. Sejak pemecatan Sathia, jawatan ini kosong......kosong sepertimana kosongnya pejabat FAM dengan piala-piala rebutan terkini - usahlah Piala Dunia, piala Merdeka pun tak ada!

Sebenarnya, keparahan bolosepak kita sudah bertahun-tahun, dan kini ia sudah bernanah dan menjijikkan. Semenjak pemecatan Dato' Ibrahim Saad dari kepimpinan FAM, kononnya kepimpinan baru FAM akan dan boleh membawa nafas dan sinar baru tetapi bak kata orang ' bercakap memang senang' bila dah buat baru tahu ' langit itu tinggi atau rendah'. Kepimpinan yang ' sememangnya' diterajui oleh saudara KJ ( ketua Pemuda UMNO sekarang ) tidak ubah seperti kata orang tua-tua ' perabih beras aje!'. Mereka hanya pandai memberi berbagai-bagai alasan di atas kegagalan skuad negara.......pihak-pihak lain pula yang dikambing-hitamkan sedangkan masalah sebenar tidak diketengahkan untuk diselesaikan manakala laporan-laporan pedas dan keras pihak media berjaya dilembutkan.

Inilah natijahnya jika ada unsur-unsur dan kuasa-kuasa politik yang disalah-gunakan. Kepada saudara KJ dan pemimpin2 FAM ( yang aktif berpolitik dan berjawatan ) letaklah jawatan anda daripada menerajui FAM, berilah kepada golongan yang benar-benar mahu mmeperjuangkan maruah dan cintakan bolasepak kita. Tumpukan masa dan gunakan kelebihan anda kepada tugasan dan peranan utama anda sebagai ahli parlimen dan ahli politik , biarkan bolasepak kita diterajui oleh insan yang tahu selok-beloknya.

FAM perlu diterajui dan diwakili oleh kepimpinan 'bolasepak' - mereka yang sudah sebati dan sedarah daging dengan bolasepak, mereka yang tahu apa itu bolasepak dan mereka yang hidup dengan bolasepak. Berilah peluang kepada golongan yang sepatutnya diberi peluang ini demi kejayaan bolasepak negara kita. Nampaknya, Dato' Najib sebagai pemimpin tertinggi negara dan pernah menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan sekali lagi perlu turun 'padang' agar dapat melakukan sesuatu yang positif.

Berbalik kepada jawatan Ketua jurulatih skuad bolasepak kita, apakah kriteria yang ditentukan oleh FAM! Calon yang akan akur sahaja dengan keputusan pengurusan FAM atau calon yang boleh berdikari dan tegas dengan keputusannya ! Dan apakah pula kriteria jurulatih yang sememangnya diperlukan oleh skuad kita sekarang! Sudahkah FAM mengkajinya atau main agak-agak saje! Adakah skuad kita memerlukan jurulatih yang bijak dalam percongakan teknikal seperti Alex Ferguson, Bernitez atau Jose Maurintho atau jurulatih yang terkenal dan pakar dalam memotivasikan pemain seperti Guss Hiddick dan Carpello atau jurulatih yang gah semasa era menjadi pemain sahaja seperti Maradona dan Zico! Atau sememangnya FAM sendiri tidak tahu apakah kriteria yang skuad kita perlukan sekarang!

Jika dilihat kepada ranking dunia, skuad Malaysia amat memerlukan Ketua jurulatih yang memiliki kesemua kriteria di atas untuk melonjakkan diri semula ke pentas Asia dan dunia. Untuk merealisasikannya, memerlukan perbelanjaan yang amat tinggi.....maka pengurusan FAM perlu membuat keputusan yang bijak, betul dan tepat demi maruah negara dan FAM sendiri. ( Itulah sebabnya FAM perlu diterajui oleh mereka yang tahu apa itu bolasepak dan bukannya sepakbola!)

Apa-apapun, selamat maju jaya kepada sukan bolasepak kita!

Sekian.

No comments:

Post a Comment